NILAI, 12 Mei 2020 – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, tercetus New Normal bagi perkhidmatan Perpustakaan USIM.

Perkhidmatan secara fizikal bertukar kepada secara maya dan pencarian bahan maklumat melalui pangkalan data atas talian meningkat secara mendadak. Januari sehingga Mac 2020 aksesan bahan secara atas talian mencapai jumlah sebanyak 58,311 hit. Bahan-bahan atas talian digunakan sepenuhnya kerana aksesan terhadap bahan bacaan secara fizikal adalah terhad. Manual-manual bagi penggunaan bahan pangkalan data atas talian disediakan sepenuhnya bagi membantu pengguna terutama pelajar-pelajar baharu yang belum mahir dalam membuat pencarian bahan. Kelas pengajaran secara atas talian juga akan dilaksanakan bagi membantu pengguna perpustakaan.

Terdapat sebanyak 4,157,958 judul bahan e-books yang disediakan oleh Perpustakaan USIM selain bahan maklumat pangkalan data yang tersedia. Bahan-bahan ini sangat membantu pengguna perpustakaan dalam menyediakan dan melengkapkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah.

Selain pertanyaan melalui e-mel rasmi Perpustakaan USIM iaitu library@usim.edu.my, perkhidmatan Ask USIM Library melalui medium whatsapp juga mendapat sambutan yang menggalakkan. Segala persoalan dan pertanyaan melalui medium ini akan dijawab dan dikendalikan oleh pegawai berkaitan yang secara asasnya menggantikan perkhidmatan di Meja Penasihat Pengguna. Pertanyaan dan persoalan akan mendapat jawapan balas secara cepat dan perkhidmatan ini digunakan sepenuhnya oleh pengguna Perpustakaan USIM. Ianya boleh dicapai melalui bit.ly/WAaskLibrarian.

New Normal perkhidmatan perpustakaan ini memberikan impak kepada pengguna dalam memastikan mereka mendapat manafaat sewajarnya walaupun perpustakaan masih belum beroperasi untuk dikunjungi secara fizikal.

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat
Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia
71800 Nilai, Negeri Sembilan.