5 MAC 2021

Kursus Asas Komunikasi Bahasa Arab yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa dan Pendidikan Islam, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM telah diadakan khusus untuk kakitangan Perpustakaan USIM mulai 5 November 2019 lalu.

Kursus ini telah ditawarkan kepada 15 orang kumpulan pertama kakitangan perpustakaan yang berlangsung setiap hari Selasa bertempat di Bilik Tayangan 2, Perpustakaan USIM. Manakala, fasa seterusnya akan dirancang selepas ini.

Tujuan utama kursus ini adalah melengkapkan peserta dengan kemahiran komunikasi asas Bahasa Arab dalam urusan rasmi bagi memantapkan barisan hadapan Perpustakaan USIM. Pengisian kursus berfokus kepada tema situasi dalam perpustakaan, berhadapan dengan pelanggan serta istilah-istilah yang digunapakai merangkumi perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan.

Kursus yang dijangkakan tamat pada awal tahun 2020 pada awalnya terpaksa dianjakkan atas kekangan pandemik Covid-19 tahun lalu. Justeru itu, sesi akhir kursus telah disusun semula dan semua peserta telah berjaya menamatkan dan memperoleh Sijil Kursus Asas Komunikasi Bahasa Arab ini pada 5 Mac 2021 . Sepanjang kursus ini berlangsung, dua orang tenaga pengajar telah mengendalikannya. Ia dilaksanakan bermula dengan sesi pengenalan dikendalikan oleh Dr. Hamadallah Mohammad Salleh dan sesi kedua oleh Dr. Mohd Nizwan Bin Musling yang kedua-duanya merupakan Pensyarah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM.

Melalui kursus ini, selain memberikan pendedahan kepada kakitangan kepada bahasa Arab, ia amat membantu bagi memudahkan urusan perkhidmatan kaunter, pengembangan bakat serta kemahiran kakitangan perpustakaan juga dapat dipertingkatkan. Ia mampu memberikan nilai tambah dan peluang kepada Perpustakaan USIM dalam menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung dalam dan luar.

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat
Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia
71800 Nilai, Negeri Sembilan.