Hamare Publication selari dengan namanya membawakan aspirasi ‘Menulis dan Berkarya untuk Diri Masyarakat Negara Agama’ telah turun padang mengadakan pertemuan bersama Ketua Pustakawan USIM pada Jumaat lalu, 3 Disember 2021.
Delegasi diketuai oleh Pengasas Hamare Publication Saudari Noor Syazana dan seramai 8 orang anak muda, 7 daripadanya merupakan Alumni USIM dan salah seorangnya masih menuntut di tahun akhir. Mereka yang berlatar belakang pelbagai jurusan di USIM hadir buat pertama kali menemui Ketua Pustakawan USIM di Bilik Mesyuarat Aras 4 Perpustakaan bagi sesi ramah mesra ini.
Puan Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan berbesar hati dan merakamkan penghargaan terima kasih atas kesudian Hamare Publication berkunjung ke Perpustakaan USIM. Hadir bersama semasa sesi ini adalah Puan Hafizah Badri merupakan Pustakawan Kanan di Seksyen Komunikasi Korporat di Perpustakaan USIM.
Pengisian sesi santai yang diaturkan ini adalah bertujuan untuk bertukar pandangan serta perkongsian pengalaman, idea, berkenal-kenalan serta peluang koloborasi Hamare Publication dengan Perpustakaan USIM.
Difahamkan, Hamare Publication selain bergiat cergas dalam penerbitan buku, mereka turut mendukung gerakan projek wakaf buku di seluruh Malaysia.
Semoga dengan perkongsian ini membuka peluang untuk jalinan kerjasama lagi dimasa akan datang.
Disediakan oleh :
Seksyen Komunikasi Korporat
Perpustakaan USIM