10 Mac 2021

Perpustakaan USIM telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Masjid Dato Klana Petra,Undang Luak Sungei Ujong Putra Nilai (MDKPPN) dalam perancangan membina jalinan kerjasama dengan USIM. Seramai 3 orang delegasi hadir dalam sesi kunjungan pada kali ini untuk bertemu pengurusan tertinggi Perpustakaan USIM yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Aras 4 Perpustakaan.

Delegasi MDKPPN hadir diketuai oleh Tuan Haji Md Hanafiah b. Md. Nor merupakan Ketua Biro Pengurusan Maklumat disertai oleh dua orang lagi wakil iaitu Ustaz Imam Andi Mohamad Zulfauzan bin Muhamad, Setiausaha Biro Pengurusan Maklumat bersama Encik Muhammad Mustakim bin Hamidun, Pengurus Perpustakaan Masjid.

Menurut Tuan Haji Md Hanafiah, kunjungan ini bertujuan untuk sesi perkongsian ilmu serta peluang meninjau secara dekat aspek pelaksanaan pengurusan perpustakaan yang boleh dipraktikkan untuk Perpustakaan Masjid yang sedang mereka diusahakan.

Dalam pada itu, semasa sesi perbincangan tersebut Ketua Pustakawan USIM, Puan Nor Azzah Momin turut memperkenalkan barisan Pengurusan Tertinggi Perpustakaan USIM yang terdiri daripada Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Marhaniza Abdul Halim serta Ketua-Ketua Bahagian, Puan Hasmida Saleh, Mohd Helmi Masor @ Mansor dan Puan Rozana Kamdani. Turut hadir beberapa orang Pustakawan Kanan iaitu Encik Muhammad Hafizi Ahmad, Encik Ahmad Yazid Ahmad@Abdul Rahman, dan Puan Hafizah Badri.

Berbincang mengenai jalinan yang bakal diadakan, Ketua Pustakawan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas kunjungan daripada pihak Masjid. Sememangnya pihak perpustakaan amat mengalu-alukan serta berbesar hati atas kesudian Masjid untuk membina jalinan kerjasama demi kebaikan masyarakat sekitar.

Jangkaan Memorandum Persefahaman (MOU) yang akan dilaksanakan pada tahun ini merangkumi khidmat nasihat dalam pengurusan perpustakaan dan koloborasi pelbagai aktiviti kemasyarakatan melibatkan komuniti.

Diharapkan usaha bagi mengeratkan jalinan kerjasama ini akan terlaksana dan memberikan impak positif buat kedua-dua belah pihak USIM dan Masjid Dato’ Klana Petra

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat
Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia
71800 Nilai, Negeri Sembilan.