NILAI- Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berbesar hati menerima kunjungan dari University of Zambia buat julung kalinya pada 27 September 2024 baru-baru ini.

Lawatan ini bertujuan untuk meneliti dengan lebih dekat amalan terbaik dalam penggunaan platform DSpace CRIS, iaitu repositori penyelidikan USIM, serta pembangunan kemudahan dan perkhidmatan maklumat di Perpustakaan USIM selain melihat fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan di Perpustakaan USIM.

Lawatan penandaarasan ini merupakan satu hasil dari Sistem Repositori Penyelidikan USIM, di mana ianya merupakan sebuah platform akses terbuka yang menyajikan hasil penyelidikan penyelidik USIM secara percuma dan dapat diakses seluruh dunia. University of Zambia merupakan universiti antarabangsa pertama yang membuat lawatan penandaarasan untuk tujuan penelitian amalan terbaik penggunaan platform ini.

Kunjungan University of Zambia diwakili oleh Professor Trywell Kalusopa (Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi), Mr Danny Leza (Pengarah, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi), Dr. Tuesday Bwalya (Pustakawan Kanan) dan Mr Francis Chulu (Pemangku Ketua Bahagian, Perkhidmatan Teknikal di Perpustakaan).

Menurut Mr Danny Leza, pasukan mereka menemui USIM melalui pengaksesan kepada platform Sistem Repositori Penyelidikan di Zambia. Selain kagum dengan kemampuan pasukan di USIM membina platform ini, mereka juga turut berminat untuk menimba pengalaman pasukan di Perpustakaan USIM dalam membina menguruskan platform ini.

 

Menurut Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), lawatan ini bukan sahaja menunjukkan kepakaran yang dimiliki di USIM, malah turut membuka peluang kerjasama antara kedua-dua buah universiti. Pihak delegasi juga telah menyatakan persetujuan dalam kerjasama antarabangsa dan akan merangka suatu MoA untuk diserahkan kepada pihak USIM dalam masa terdekat.

Turut hadir sama menyambut delegasi ini adalah Ts. Yussavialina Hamdan, wakil Pengarah System Development & Engineering Centre (SDEC), dan Dr. Fauziah Hassan, Pengarah USIM Alamiyyah.