Usaha Penubuhan USIM Bermula Tahun 1997

USIM diwujudkan bertujuan melahirkan lebih ramai ulama, intelek dan profesional yang mempunyai latar belakang pengajian Islam. Usaha penubuhannya telah bermula sejak tahun 1997 lagi seperti yang dilaporkan oleh Akhbar Berita Harian bertarikh 16 Jun 1997. Akhbar berkenaan melaporkan bahawa mesyuarat kabinet menteri telah meluluskan penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), nama awal bagi USIM yang akan menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Bahkan KUIM akan mengadun unsur keilmuan Islam dan tamadun lain dari Barat dan Timur dengan matlamat utama melahirkan ulama mujtahid dan progresif.

Menurut akhbar Utusan Malaysia dalam berita bertarikh 14 Jun 1997, sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ke-12, KUIM akan mempunyai pentadbiran yang tersendiri namun buat permulaannya akan diletakkan di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kursus-kursus yang ditawarkan pula akan menggunakan kesepaduan dan penggabungan ilmu wahyu dan akliah. KUIM yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (pindaan) 1996 dan diwartakan pada 24 Februari 1998 pada awalnya telah ditadbir oleh Rektor Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin dan Timbalannya, Prof. Datuk Dr. Abdullah Muhammad Zin. KUIM disasarkan untuk menampung pelajar lepasan sekolah menengah agama negeri, sekolah menengah agama rakyat dan sekolah menengah kebangsaan agama dan memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai Sijil Tinggai Agama Malaysia (STAM) untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Secara rasminya, pengambilan pelajar sulung KUIM dilakukan pada 18 Jun 2000 di kampus sementara di Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Seramai 255 orang pelajar mendaftar untuk memasuki pengajian di tiga buah fakulti iaitu Fakulti Syariah dan Kehakiman (kini Fakulti Syariah dan Undang-undang) seramai 89 orang, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah seramai 84 orang dan Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam (kini Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan) seramai 82 orang. Berikutan itu, tarikh 18 Jun telah diputuskan sebagai tarikh ulang tahun penubuhan USIM bersempena kemasukan pelajar sulung ini.