Pemasyhuran Tuanku Najihah Sebagai Canselor KUIM Pertama 

Sejarah telah tercipta pada 4 April 2002 apabila secara rasminya Tuanku Najihah Binti Tunku Besar Burhanuddin, Tuanku Ampuan Negeri Sembilan ketika itu telah dimasyhurkan sebagai Canselor pertama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) nama awal bagi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Majlis persembahan watikah pelantikan baginda telah diadakan di Istana Besar, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Tempoh pelantikan berkenaan adalah berkuat kuasa selama lima tahun mulai 1 Disember 2001 sehingga 30 November 2006. Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman berangkat sama ke majlis Majlis yang bersejarah itu dan turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KUIM, Tan Sri Dr. Yusof Noor, Rektor KUIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin, serta pegawai-pegawai kanan KUIM.

Sementara itu, istiadat pemasyhuran Canselor telah dijayakan dalam satu upacara Majlis Pemasyhuran Pelantikan Canselor yang berlangsung pada 9 Ogos 2003 yang dilangsungkan serentak dengan Majlis Konvokesyen kali pertama KUIM di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Majlis gilang-gemilang ini dimulai dengan upacara penyerahan cokmar yang disempurnakan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir yang mewakili Menteri Pendidikan.

Pemilihan Tuanku Najihah sebagai Canselor KUIM pertama sangat tepat kerana baginda sangat aktif dalam kerja-kerja amal di Negeri Sembilan. Baginda diputerikan di Seri Menanti dan telah mendapat pendidikan awal si Sekolah Melayu Seri Menanti. Kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Inggeris Tuanku Muhammad dan berkesempatan mempelajarai bahasa Perancis disamping mengikuti pelbagai kursus di London School of Economic (London University).

Ucapan Rektor KUIM ketika Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Pertama KUIM menyatakan bahawa pelantikan Tuanku Najihah membawa makna yang besar kepada KUIM dan meyakini di bawah naungan baginda KUIM akan terus maju berkembang dengan pesat bagi mencapai segala matlamat yang digagaskan. Dalam majlis yang sama, Tuanku Najihah bertitah bahawa baginda meyakini dengan falsafah, misi, visi dan moto yang didukung oleh semua, KUIM mampu muncul sebagai sebuah universiti yang mengutamakan kualiti dan kecemerlangan dalam segenap aspek dan berupaya menyerlahkan keunggulan serta keunikan yang tersendiri.