Majlis Pecah Tanah KUIM di Bandar Baru Nilai 

Majlis pecah tanah kampus tetap Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) nama dahulu bagi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diadakan pada 22 Ogos 2002. Ia disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Bandar Baru Nilai diplih sebagai lokasi kampus tetap kerana ia terletak dalam lingkungan Multimedia Super Corridor (MSC) serta lokasinya yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang selain kemudahan jaringan lebuh raya yang berada di persekitarannya.

Kampus yang berkeluasan 471.8 ekar dilengkapi dengan pelbagai inftastruktur moden yang selesa untuk aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Projek pembangunan kampus ini adalah projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu untuk tempoh 2006 hingga 2010. Antara kemudahan yang dibangunkan dalam tempoh ini adalah pembinaan bangunan Canselori, perpustakaan, fakulti dan kemudahan-kemudahan lain.

Akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan bahawa, menurut Tan Sri Dr. Yusof Noor, Pengerusi Lembaga Pengarah KUIM ketika itu, fasa pertama pembinaan kampus ini dijangka siap pada tahun 2004 dan mampu menempatkan kira-kira 5000 orang pelajar.