Majlis Konvokesyen Pertama KUIM
Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) telah menempa sejarah pada 9 Ogos 2003 kerana buat julung kalinya melahirkan graduan sulung bertempat di Dewan Perdana FELDA, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Dalam majlis berkenaan Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Mahadzir Mohd Khir yang mewakili kerajaan Malaysia telah menyerahkan Cokmar kepada Rektor KUIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin.
Pada majlis konvokesyen ini, buat julung kalinya KUIM menganugerahkan ijazah sarjana muda dengan kepujian kepada 236 graduan sulung bagi tiga program iaitu Ijazah Sarjana Muda Syariah dan kehakiman, Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah serta Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam. Rektor KUIM ketika berucap dalam majlis berkenaan ada menyatakan bahawa seluruh warga KUIM berasa amat bangga kerana amanah yang diberikan oleh kerajaan kepada KUIM untuk mendidik generasi muda telah terlaksana.
Dengan keluarnya graduan sulung KUIM ini jelas membuktikan bahawa pendidikan Islam boleh menjadi landasan yang kukuh dan setanding dalam arus pendidikan perdana negara. Jelas juga bahawa KUIM mampu merealisasikan hasrat kerajaan agar pelajar aliran agama boleh mendapat peluang untuk bersaing dan sama-sama berfganding bahu manyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara.