Pelajar KUIM Cipta Rekod Tulisan Khat Terpanjang

Pada 6 Julai 2002, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) telah melakar sejarah apabila sekumpulan pelajar seramai 20 orang mengambil masa selama 270 jam untuk menghasilkan rekod Malaysia dengan membuat Tulisan Khat Terpanjang. Kaligrafi khat sepanjang 276 meter telah dicatatkan dalam The Malaysian Book of Records. Tulisan khat berkenaan terdiri daripada penulisan Surah Yasin menggunakan khat Thuluth dan ditulis di atas kain kanvas.

Majlis perasmian dan Pelancaran Projek Gema Warisan Tulisan Khat Terpanjang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Muda Ampang dijayakan oleh Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi Asrama KUIM. Tujuan utama projek ini untuk memberitahu masyarakat umum bahawa tulisan khat merupakan satu seni budaya bangsa yang menjadi kebanggaan genarasi terdahulu.